Usrah dan Sejarahnya

 

Perkataan USRAH berasal daripada kalimah ARAB yang bermaksud KELUARGA…Menurut kamus dewan, keluarga bermaksud kaum,saudara mara, kaum kerabat,sanak saudara dan lebih jelas disebut sebagai KELUARGA.

Manakala dalam Kamus al-Munjid fi al-Lughatu wa al-A’lam perkataan USRAH adalah mufrad kepada (ASARO) iaitu perkumpulan yang mempunyai hubungan kukuh

Manakala dari segi ISTILAH pula….,USRAH bermaksud kumpulan individu atau mukmin yang beriman dengan agama ISLAM, berusaha dan tolong-menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati ISLAM berdasarkan perintah ALLAH swt dalam surah AL-MAIDAH ayat 2 “Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan). Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSAANNYA (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).”

Tuntasnya,jelaslah di sini bahawa USRAH bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ILMU, malahan ia merupakan tempat untuk kita sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli kumpulan dan tolong menolong apabila ada sebahagian ahli usrah ditimpa kesusahan & dapat mempertingkatkan lagi hubungan UKHWAH ISLAMIYYAh kita bersama…INSYAALLAH…

PEMBENTUKAN USRAH ZAMAN RASULULLAH S.A.W.

Sebelum kedatangan ISLAM ke negeri ARAB,orang-orang arab jahiliyyah hidup dalam keadaan yang penuh dengan kegelapan.Mereka mengamalkan kepercayaan syirik dan penyembahan tuhan-tuhan palsu.Selain itu, orang-orang kaya mengamalkan sikap menindas golongan yang miskin. Mereka telah lupa ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail,begitu juga dengan ajaran Nabi Musa dan Isa. Mereka telah mencampur-adukkan ajaran ALLAH dan RASUL dengan ajaran yang lain.

Setelah Nabi Muhammad diangkat sebagai rasulullah saw,beliau telah menjalankan dakwah secara berperingkat-peringkat,iaitu secara sembunyi-sembunyi (dikhususkan kepada kaum keluarga dan sahabat yang terdekat) dan secara terang-terangan (dakwah kepada masyarakat).

Di zaman RASULULLAH tidak wujud istilah USRAH,akan tetapi pada zaman sekarang ia dikenali sebagai USRAH kerana kita melihat kepada dakwah rasulullah saw dengan mengumpulkan sekumpulan penganut atau pengikut ISLAM dan kelompok yang kecil.

Pembentukan USRAH yang pertama adalah dilakukan di DAR AL-ARKAM. Di rumah AL-ARKAM BIN ABI AL-ARKAM, RASUL mengajar mereka yang hadir setiap ayat al-Quran yang baru diturunkan.Kemudian dihafal serta diberi huraian yang jelas.Ia bertujuan memberikan kefahaman yang jelas kepada para sahabat tentang maksud sesuatu ayat yang diturunkan dan umat islam mempraktikkannya dalam konsep IBADAH dalam kehidupan seharian.

Di dalam dakwahnya,baginda mengibarkan panji-panji risalah TAUHID,mencuba menegakkan keadilan dan kebenaran bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sana.Di dalam dakwahnya juga baginda menekankan di dalam diri umat islam ruh ubudiyyah bagi menjadikan umatnya hidup untuk mengabdikan diri kepada ALLAH swt. Baginda juga menanamkan ROH yang menjadikan umatnya tidak berputus asa dalam melaksanakan tugas-tugasnya demi menegakkan kalimah ALLAH TAALA.Selain itu juga dalam dakwahnya baginda menanamkan semangat bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan,,dan beliau sanggup menerima risiko dalam perjuangan dan tidak mudah putus asa dalam menyebarkan dakwah ALLAH swt.

Selain itu,baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat baik seperti baik hati, amanah,bertanggungjawab,bercakap benar,berani dan sebagainya dalam diri para sahabat.Antara dalil menunjukkan kepentingan kedudukan akhlak yang tinggi,firman ALLAH swt surah AL-QALAM ayat 3-4 yang berbunyi,,”Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala-pahala yang amat besar yang tidak putus-putus (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran ISLAM). Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang soleh dan cemerlang.”

Dalam pentarbiahannya, baginda melaksanakan program-program akhlak yang berterusan melalui contoh-contoh sifat mulia nabi-nabi yang terdahulu yang diceritakan di dalam al-Quran dan melalui “QUDWAH HASANAH” baginda sendiri. Rasulullah saw merupakan contoh utama dan ikutan yang terbaik bagi semua umat ISLAM. Sewaktu saidatina AISYAH ditanya tentang akhlak baginda,beliau menjawab:

“AKHLAK BAGINDA IALAH AL-QURAN”
 
 
Akhirun kalam,pentarbiahan secara berjemaah yang dilaksanakan oleh rasulullah saw sangat berkesan dalam penyampaian ilmu. Selepas kewafatan baginda, para sahabat meneruskan perjuangan dakwah sama seperti apa yang dilakukan oleh baginda RASULULLAH saw dengan mengumpulkan umat daripada jemaah yang kecil hingga seterusnya berkembang menjadi jemaah yang lebih ramai. wallahualam.

Usrah dan Kepentingannya

Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’I (sedar) dan waqi’I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.

Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.

Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.

Dalam wasilah khusus, konsep ‘amal jama’i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).

Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.

Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.

Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.

Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.

PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas–jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.

  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba’ dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).

 

Image

 

Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

Dipetik dan diubah suai daripada risalah “Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah” oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.

Halaqah Fikr.

bismillahirrahmanirrahim…